BONUS DAN TAWARAN ISTIMEWA DI BULAN RAMADHAN
Bulan ini bolehlah dianggap sebagai bulan 'bonus' dari Allah SWT sebagai rahmat bagi hamba-hambaNya. Gandaan pahala di bulan ini dan ketika puasa adalah amat hebat. Ia berdasarkan hadith Qudsi yang menyebut : ''Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu'' (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).
Cuba kita renungkan kembali, kerap kali kita akan merasa gembira apabila tiba hujung tahun bagi mendapatkan bonus dari majikan kita. Mengapa kita gembira bila mendapat bonus, gaji dan insentif?? Sudah tentu jawabnya kerana : "dapat duit" (Bai'ah) ??? . Mengapa kita seronok mendapat duit??
Jawabnya: kerana boleh membeli itu dan ini, bergaya dan lain-lain. Lalu berapa lamakah keseronokkan dan perkara tadi ?? Sudah tentu jawabnya, bergantung kepada apa yang dibeli, ada yang rosak cepat dan ada yang lambat. Jika demikian, jika barang itu lambat rosak, berapa lamakah keseronokan itu akan berterusan?
Jawabnya : paling panjang adalah sekadar kita masih hidup sahaja.
Baiklah, selepas kematian adakah kita masih ada seronok ?. Jika tidak, mak apakah yang boleh menyeronokkan kita selepas mati ? Jawabnya : tidak lain tidak bukan adalah pahala dan amalan yang dikumpul. Jika banyak dan berkualiti, semua matawang pahala itu akan memberi seribu satu macam keseronokan berpanjangan sehingga satu tarikh yang hanya diketahui Allah SWT dan ia pastinya amat panjang.
Jika demikian, mengapa tidak tercetus perasaan seronok menerima kehadiran Ramadhan sebagaimana seronoknya kita menerima bonus dan insentif duit ? Sedangkan Ramadhan adalah bulan bonus untuk meraih pahala sebanyaknya.
Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada 'bonus' yang ditawarkan oleh Allah. Bermakna, barangsiap yang berpuasa Ramadhan bukan kerana Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti suasana atau hanya menunjuk-nunjuk dan lain-lain sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan 'bonus' dan tawaran istimewa 'pahal luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah.
Selain itu, pahala 'bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, menfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuas. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya:
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkal puasa, mak tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Al-Bukhari)
No comments:
Post a Comment